Pertumbuhan ekonomi tak beri keyakinan politik pada pengundi - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi tak beri keyakinan politik pada pengundi

Ekonomi politik
AHMAD Zahid Hamidi berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pertumbuhan ekonomi yang dibawa menerusi kepemimpinan politik kerajaan termasuk yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini tidak lagi mampu memberikan keyakinan politik kepada rakyat khususnya pengundi di negara ini.

Malah, situasi itu disifatkan sebagai realiti politik baharu yang perlu difahami dan didepani oleh semua khususnya parti pemerintah untuk meraih kemenangan dalam pilihan-pilihan raya seterusnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Selangor dan Pulau Pinang pada asalnya ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 menjadi penanda kepada perubahan tersebut dan perkiraan politik itu gagal dibaca walaupun dilalui sendiri oleh parti.

“Bukan hanya di Selangor, tetapi di seluruh negara, kita sedang mendakapi realiti politik baharu, ini adalah suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat, sejarah silam jangan harus kita padamkan.

“Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat organized atau berstruktur.

“Struktur yang berlaku kerana kita lambat dan mungkin gagal untuk membaca perkiraan politik yang menerjah kita dengan perubahan yang dilakukan sendiri tetapi tidak membaca apakah lapisan kedua dan ketiga yang sedang mendepani kita,” katanya pada ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.

Jelasnya, Selangor dan Pulau Pinang selama ini mencatatkan pertumbuhan ekonomi dari sudut pelaburan asing langsung (FDI) dan pendapatan dalam negeri kasar (GDI) yang tertinggi dan terkehadapan.

“Kita lupa demografi yang berlaku sudah berubah, warna politik juga bertukar, dalam situasi begitu mungkin kita terlupa, riak dan kadang-kadang sombong, kita melupakan akar yang menunjangi kekuatan kita.

“Lantas itu, diambil kesempatan oleh pihak yang sentiasa menunggu-nunggu kita rebah dan terus melata membumi tanpa ada batu nisan yang tinggal untuk menandakan keberadaan kita di bumi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menggesa pemimpin semua peringkat dan akar umbi supaya ‘mengukur baju di badan sendiri’ apabila kerajaan yang dibentuk ketika ini bukanlah berasaskan kepada parti yang tunggal.

“Adalah hakikat dalam realiti politik baharu, apabila 30 (ahli parlimen BN) dihargai sumbangan oleh Perdana Menteri sehingga ada tujuh orang (daripada UMNO) menjadi menteri dan enam timbalan.

“DAP yang lebih (ahli parlimen), mereka hanya ada lima menteri, ertinya Perdana Menteri memberi penghargaan kepada kita. Janganlah akar umbi anggap kita masih dominan, mempunyai kuasa untuk melayani semua permintaan seperti kemunasabahan terdahulu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN