Permintaan ayam meningkat, harga runcit murah

Permintaan ayam meningkat, harga runcit murah

MOHD. Adam Mukhriz (kanan) melayan pelanggan di kedai ayamnya di Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu, semalam. – MINGGUAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Permintaan terhadap ayam segar di daerah ini meningkat sekali ganda susulan paras harga runcit bahan mentah itu yang murah sejak tiga bulan lalu.

Tinjauan di beberapa premis mendapati, ayam segar dijual antara RM7.29 sehingga RM7.99 sekilogram (kg), lebih rendah berbanding harga siling ditetapkan sebelum ini.

Seorang peniaga, Rosli Bidi, 60, berkata, hampir 600 ekor ayam dengan anggaran berat lebih dua kilogram seekor habis dijual setiap hari ekoran harga ayam yang murah ketika ini.

Katanya, tidak berlaku isu lambakan bekalan kerana harga runcit yang rendah menarik minat pengguna walaupun peniaga menanggung kenaikan kos operasi lebih 50 peratus.

“Kali terakhir harga ayam segar melebihi paras RM8/kg adalah pada Mei lalu ketika berharga RM8.40/kg dan harga itu sudah mula menurun. Jadi boleh dikatakan ayam memang murah ketika ini.

“Cuma minggu ini ada ke­naikan daripada RM7.49 kepada RM7.99/kg, namun harga runcit semasa ini masih rendah berban­ding ketika sebelum penamatan harga kawalan hujung tahun lalu.

“Permintaan juga mening­kat daripada 300 ekor ayam sehari, kini jualan harian saya boleh mencecah 500 sehingga 600 ekor ayam yang habis dijual,” katarnya ketika ditemui di Kampung Gong Pauh di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Adam Mukhriz, 29, berkata, dia perlu mendapatkan bekalan baharu setiap hari dari Pahang dan Johor bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

Katanya, harga ayam masih terkawal dan tiada kenaikan harga walaupun kos operasi meningkat susulan penyasaran subsidi minyak diesel pada Jun lalu.

“Setiap pagi pekerja saya ke Pekan, Raub dan Segamat untuk mengambil bekalan dan ayam diproses sendiri oleh kami, itu juga faktor boleh jual murah ke­rana tiada pihak ketiga,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tiada ­aduan diterima berhubung harga bahan mentah terbabit.

“Bekalan ayam di pasaran juga terkawal namun peniaga diingatkan untuk meletak tanda harga bagi mengelak manipulasi harga dan boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×