KANGAR: Sebanyak 12 pelaburan baharu telah diluluskan kerajaan negeri di Perlis membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi tempoh sejak November 2022.
Pelaburan-pelaburan tersebut adalah merangkumi pelbagai sektor antaranya sektor pertanian, pembuatan, logistik dan pelancongan (perkhidmatan-sukan rekreasi pelancongan).
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh syarikat telah diluluskan bagi pelaburan di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.75 bilion.
“Pelaburan di CVIA itu adalah merangkumi sektor pembuatan, perindustrian dan sektor tenaga boleh diperbaharui dan solar,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata demikian bagi menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) berhubung jumlah pelabur yang diterima kerajaan negeri sehingga kini termasuk di kawasan CVIA.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri tidak hanya melihat kepada jumlah ringgit dibawa masuk oleh pelabur dalam mempertimbangkan sesuatu cadangan pelaburan di negeri ini.
“Bagaimanapun kerajaan negeri juga melihat daripada sudut yang akan membawa kepada limpahan ekonomi lebih besar kepada masyarakat setempat.
“Antara aspek yang diambil kira adalah seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan kecil hasil daripada permintaan tenaga kerja dan peluang mewujudkan pusat pertumbuhan baru di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga optimis akan menerima lebih banyak pelaburan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ini adalah melalui usaha dan kerjasama berterusan daripada agensi berkaitan dan sokongan daripada semua wakil rakyat dalam melaksanakan perubahan ekonomi negeri ini,” katanya.-UTUSAN










