SEREMBAN: Seorang penunggang maut selepas motosikalnya terlanggar sebiji tayar lori yang sedang bergolek dari arah bertentangan di Kilometer 266.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.
Penjawat awam, Razali Ahsan, 47, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.30 pagi mengenai kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah Sikamat menuju Putrajaya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa terlanggar sebuah tayar lori yang sedang bergolek dari arah bertentangan masuk ke laluan motosikal dan mengakibatkannya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri sebelum melanggar besi penghadang jalan.
“Lori terlibat berserta pemandu seorang lelaki berumur 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat polis Daerah Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










