Sokongan luar biasa penyokong pacu semangat Colombia

Sokongan luar biasa penyokong pacu semangat Colombia

NESTOR Lorenzo-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Ketua jurulatih Colombia, Nestor Lorenzo mengakui sokongan luar biasa penyokong negaranya di Stadium Azteca memberi tekanan emosi kepada sebahagian pemain ketika memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan 3-1 ke atas Uzbekistan, hari ini.

Gol daripada Daniel Munoz, Luis Diaz dan pemain gantian, Jaminton Campaz memastikan Colombia meraih tiga mata penuh sekali gus mendahului Kumpulan K selepas Portugal dan Republik Demokratik (DR) Congo terikat 1-1 dalam satu lagi aksi kumpulan.

Meskipun menguasai sebahagian besar permainan, Colombia dipaksa bekerja keras selepas Uzbekistan berjaya menyamakan kedudukan sebelum Diaz kembali meletakkan pasukannya di depan, diikuti gol Campaz pada masa kecederaan.

“Ia satu tenaga yang luar biasa, tetapi dari sudut emosi ia memberi beban kepada beberapa pemain.Saya fikir ia berkait dengan tekanan perlawanan pertama dan juga tanggungjawab sebagai pasukan pilihan,” kata Lorenzo.

Pengendali dari Argentina itu berkata, suasana yang dicipta ribuan penyokong Colombia di Azteca menambahkan lagi kehangatan perlawanan, namun pasukannya bergelut mengekalkan rentak pada separuh masa kedua apabila Uzbekistan mula bermain lebih agresif.

“Kami mempamerkan aksi yang sangat baik pada separuh masa pertama.Kemudian mereka mula bermain lebih terus ke hadapan dan memaksa kami bertahan lebih dalam. Ia menjadi perlawanan yang sangat fizikal,” katanya.

Walaupun menang selesa, Lorenzo mengakui Colombia sepatutnya mampu menamatkan cabaran Uzbekistan lebih awal.

“Pada separuh masa pertama kami mempunyai peluang untuk membina kelebihan yang lebih besar.Kami kurang tajam dalam penyudah dan perkara itu sentiasa menjadi fokus latihan kami,” katanya.

Menurutnya, pemain Colombia juga terlalu berhati-hati untuk kehilangan bola sehingga gagal memanfaatkan beberapa situasi serangan.

“Kadang-kadang kami terlalu banyak menguasai bola dan terlalu takut kehilangannya.Tiada siapa yang benar-benar berani mengakhiri gerakan serangan itu,” katanya.

Lorenzo turut mempertahankan kapten pasukan, James Rodriguez yang dilihat gagal memberi impak besar ketika berdepan benteng pertahanan rapat Uzbekistan.

“Ia bukan perlawanan terbaiknya, tetapi dia juga tidak bermain buruk.Mereka menutup ruang yang biasanya digunakan James. Dia mungkin bukan watak utama kali ini, tetapi ketika menguasai bola dia banyak membantu pasukan,” katanya.

Colombia akan menentang DR Congo di Guadalajara dalam usaha mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan K sekali gus menghampiri slot ke pusingan kalah mati.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN