Gempa bumi Colombia: Rakyat Malaysia selamat

Gempa bumi Colombia: Rakyat Malaysia selamat

ORANG ramai dan anggota penyelamat mencari mangsa yang terselamat di celah runtuhan bangunan yang roboh selepas gempa bumi di Cali, Colombia. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua warganegara Malaysia yang berdaftar di Colombia pada masa ini berada dalam keadaan selamat susulan kejadian gempa bumi berukuran 7.4 magnitud pada skala Richter yang melanda wilayah barat, semalam.

Menurut Wisma Putra, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan kejadian itu yang berlaku pada pukul 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa bumi terletak berhampiran daerah San José del Palmar di Wilayah Chocó.

Katanya, gegaran kuat turut dirasai di sebahagian besar negara itu, terutamanya di sekitar wilayah tengah Colombia termasuk Cali, Pereira, Manizales, dan Armenia serta di ibu negara, Bogotá, yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastruktur.

“Kementerian menzahirkan rasa simpati kepada Kerajaan dan rakyat Colombia yang terjejas akibat bencana alam ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan secara serentak ke Colombia telah mengesahkan bahawa kesemua warganegara Malaysia yang berdaftar di Colombia pada masa ini berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Wisma Putra berkata, lihak berkuasa Colombia masih lagi menilai keadaan semasa termasuk jumlah kemalangan jiwa dan skala penuh kemusnahan.

Katanya, Pihak Kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi.

Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melawat kawasan yang terjejas di Colombia dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan mematuhi sepenuhnya segala arahan pihak
berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan tempatan.

“Semua rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar turut digesa untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan kadar segera melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, atau ingin menyalurkan maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan yang terjejas, digesa untuk menghubungi
Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru melalui talian Telefon/ WhatsApp: (511) 422 0297, (511) 441 1939 , (511) 441 0795
E-mel: [email protected], [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×