PUTRAJAYA: Bekas Perdana Meneri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Penasihat DAP, Lim Guan Eng daripada RM1.35 juta kepada RM450,000.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar sebulat suara memutuskan bahawa jumlah ganti rugi sebelum ini adalah berlebihan.
Bagaimanapun panel yang sama masih mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Presiden Bersatu itu telah memfitnah bekas Menteri Kewangan itu berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Sementara itu, pada prosiding sama, Hakim Azhahari ketika membaca penghakiman ringkas panel itu membenarkan rayuan silang yang dikemukakan oleh Guan Eng berhubung faedah yang wajar dikenakan terhadap jumlah ganti rugi.
“Kami berpendapat bahawa Pesuruhjaya Kehakiman (ketika itu) telah membuat dapatan yang betul bahawa tiga kenyataan (yang dibuat Muhyiddin) adalah memfitnah responden (Guan Eng). Kami tidak menjumpai sebarang alasan untuk mengganggu dapatan ini.
“Kami juga bersetuju bahawa pembelaan berdasarkan justifikasi, perlindungan bersyarat dan komen yang adil tidak terpakai. Berhubung ganti rugi am, selepas mempertimbangkan kes perayu, kami mendapati bahawa jumlah yang diberikan adalah terlalu tinggi.
“Kami juga berpendapat berdasarkan fakta kes, tiada apa yang mewajarkan ganti rugi teruk dan teladan yang diberikan sebelum ini diubah.
“Berhubung rayuan silang (Guan Eng), berdasarkan Aturan 42 Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukan bahawa setiap penghakiman wajar diberikan faedah. Oleh itu, kami menetapkan faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh,” kata Hakim Azhahari.
Mahkamah kemudian memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM35,000.
Pada 8 November 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati telah memfitnah berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Hakim Roz Mawar Rozain menyatakan, Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Beliau memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng.
Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Roz Mawar berkata, tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).
Hakim Roz Mawar berkata, namun Muhyiddin tidak berbuat demikian dan terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Guan Eng selepas plaintif memaklumkan kepadanya bahawa dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak benar.
Pada 16 Disember 2024, hakim sama memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin berhubung pembayaran ganti rugi dan memerintahkan membayar RM400,000 kepada Guan Eng sebelum 31 Disember 2024 dan bakinya sebelum 27 Januari 2025.
Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung tiga kenyataan berunsur fitnah di laman sosial Facebook dalam isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Guan Eng turut mendakwa, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai serta penalti terhadap yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai. – UTUSAN










