PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memperkukuh mekanisme pemantauan dan kawalan dalaman bagi menutup sebarang ruang penyelewengan susulan pendedahan penipuan yang sedang disiasat menerusi Ops Daya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, siasatan mendapati sebahagian syarikat dipercayai mengambil pekerja hanya bagi membolehkan mereka menerima subsidi kerajaan sebelum menamatkan perkhidmatan pekerja terbabit sebaik tempoh insentif berakhir.
Beliau berkata, penyelewengan itu sukar dikesan pada peringkat awal kerana syarikat terbabit memenuhi semua syarat yang ditetapkan termasuk berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta membuat caruman PERKESO bagi pekerja yang diambil.
“Jika dilihat daripada aspek pemantauan data PERKESO, semuanya kelihatan teratur. Mereka berdaftar dengan SSM dan membuat caruman PERKESO seperti yang disyaratkan.
“Apabila kedua-dua syarat itu dipenuhi, pembayaran subsidi diteruskan. Namun, apa yang menimbulkan keraguan ialah apabila pekerja diberhentikan sebaik sahaja tempoh subsidi tamat,” katanya pada sidang akhbar Ops Daya bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman di sini, hari ini.
Katanya, hasil pemantauan terhadap pola penggajian mencurigakan itu mendorong PERKESO menjalankan siasatan lapangan bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Mohammed Azman berkata, siasatan lanjut yang turut dibantu maklumat pemberi maklumat (whistleblower) menemukan petunjuk berlakunya unsur penipuan dan fraud dalam tuntutan insentif berkenaan.
“Siasatan itu mengambil masa kira-kira lapan bulan sebelum maklumat lengkap disalurkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelasnya lagi, insentif itu diwujudkan kerajaan bagi membantu golongan rentan mendapatkan pekerjaan termasuk orang kurang upaya (OKU), individu di bawah program parol atau bakal dibebaskan serta wanita yang ingin kembali memasuki pasaran pekerjaan.
Katanya, setakat ini dua bentuk insentif diperkenalkan menerusi program itu iaitu Daya Kerjaya 1.0 yang menawarkan subsidi RM600 sebulan selama tiga bulan dan Daya Kerjaya 2.0 membabitkan subsidi RM1,500 selama enam bulan.
Sehubungan itu, beliau berkata PERKESO akan meneliti cadangan serta syor dikemukakan SPRM bagi menambah baik sistem sedia ada supaya tiada lagi ruang yang boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Mohammed Azman berkata, kerjasama antara PERKESO dan SPRM dalam membanteras penyelewengan bukan perkara baharu apabila kedua-dua agensi sebelum ini turut bekerjasama dalam beberapa operasi termasuk Ops Hire dan Ops Tunjang yang membabitkan penipuan tuntutan berkaitan PERKESO.
Sementara itu, Mohammed Azman Aziz berkata, tindakan awal yang dilaksanakan agensi itu berjaya menyelamatkan kira-kira RM5.33 juta daripada terus dibayar kepada pihak yang disyaki membuat tuntutan palsu.
Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak RM1.26 juta turut berjaya dikembalikan semula selepas tindakan penguatkuasaan dan pemulihan diambil terhadap majikan yang terbabit. – UTUSAN










