MELAKA: Menjalankan temu duga di seluruh penjara di negara ini sekitar awal 1980 bagi mencari banduan berkemahiran untuk membina Penjara Marang, Terengganu merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Husain Beladar, 87.
Beliau yang juga Tokoh Jabatan Penjara berkata, Komisioner Jeneral Penjara ketika itu, Datuk Ibrahim Mohamed telah melihat usahanya mengubah suai blok dan tempat tidur banduan ketika bertugas di Kuantan, Pahang.
Katanya, susulan itu Ibrahim mendapat idea untuk membina sebuah penjara baharu dan beliau dipertanggungjawabkan bagi mengetuai projek tersebut.
“Saya pergi ke penjara seluruh Malaysia untuk mencari banduan yang berkemahiran. Saya temu duga mereka dan tanya apa yang mereka boleh buat.
“Alangkah rugi jika kemahiran mereka tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Kesilapan masa lalu yang membuatkan mereka dipenjara perlu dijadikan pengajaran, namun kelebihan mereka jangan dipersiakan.
“Penjara Marang mula dibina pada 1981 di atas tapak seluas 80 hektar. Bangunan ini adalah hasil gabungan kemahiran pegawai penjara dan kira-kira 300 banduan yang sedang menjalani hukuman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Memoir Husain Beladar di Muzium Penjara, Banda Hilir di sini, semalam.
Mengenai pameran memoirnya, Husain berkata, beliau tidak menyangka sumbangannya dalam dunia kepenjaraan terus diingati pelbagai pihak, meskipun telah 36 tahun bersara.
Menurut anak jati Kelantan itu, koleksi peribadi dan sumbangannya yang dipamerkan bukan untuk dibanggakan, sebaliknya untuk dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
“Generasi muda perlu menjadikan kepayahan yang dilalui pesara sebagai pengajaran agar lebih komited dalam pekerjaan. Saya percaya nilai tambah pada zaman moden dengan teknologi canggih dapat memberikan hasil lebih berkualiti,’’ katanya. – UTUSAN










