BUKIT MERTAJAM : Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong enggan mengulas lanjut sama ada beliau akan bertanding jawatan Pengerusi DAP negeri atau sebaliknya pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, bulan depan.
Steven yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, senarai pencalonan hanya akan diketahui selepas proses pemilihan calon berakhir pada pukul 5 petang nanti.
“Sebagai setiausaha organisasi kebangsaan, kita ikut proses. Sekarang pencalonan pun belum selesai, pencalonan selesai pada hari ini.
“Selepas pencalonan kita akan tengok dan untuk saya, kita akan serahkan kepada proses parti dan juga kehendak para pewakilan,” jawabnya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program NIOSH dan Penyerahan Sijil ISO kepada Penang Port Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Sebelum ini, laporan media berbahasa Mandarin yang memetik sumber DAP mendakwa, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow Kon Yeow tidak akan bertanding ada pemilihan DAP nanti.
Laporan yang sama juga menyebut bahawa Setiausaha DAP Pulau Pinang ketika ini iaitu Lim Hui Ying, akan menjadi Pengerusi DAP negeri yang baharu selepas ini.-UTUSAN










