Pembunuh Dr. Rohani terlepas hukuman mati, kena penjara 38 tahun

Pembunuh Dr. Rohani terlepas hukuman mati, kena penjara 38 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun dan dikenakan 12 sebatan kerana membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 13 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan Syahmie Hassan, 32, untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah turut memerintahkan banduan akhir itu dikenakan 12 sebatan manakala tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap pada 4 Ogos 2011.

Hakim Harmindar berkata, selepas memberi pertimbangan teliti dan berhati-hati, panel itu berpuas hati kes berkenaan bukan luar biasa yang mewajarkan mahkamah mengekalkan hukuman mati.

“Mahkamah mengambil kira usianya yang terlalu muda iaitu 20 tahun ketika melakukan perbuatan tersebut,” ujar beliau.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail memohon hukuman mati diketepikan atas alasan kes itu bukan dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang menjadi salah satu asas kepada hukuman mati dikekalkan.

Hujah peguam, anak guamnya yang pernah mempunyai gejala-gejala skizofrenia, kini banyak berubah ke arah kebaikan dan giat mendalami ilmu agama ketika di penjara.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan semakan kerana kejadian itu melibatkan keganasan dan pemohon langsung tidak menunjukkan belas kasihan terhadap mangsa yang juga jirannya.

Ketika diminta oleh Hakim Harmindar supaya menjelaskan mengapa kes itu dianggap luar biasa, May Ling berkata, pemohon pada asalnya merompak mangsa namun pada masa yang sama dia membuat persediaan untuk membunuhnya selepas tidak menemukan banyak barang berharga di rumah itu.

“Perayu mengetahui pergerakan mangsa kerana mereka berjiran. Dia bukan sahaja merompak rumah wanita itu, malah menjerut leher mangsa sehingga tidak bernyawa sebelum menyetubuhinya,” ujar May Ling.

Syahmie disabitkan membunuh wanita berusia 38 tahun itu di pangsapurinya di Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta, Perak antara 6 petang dan 7.30 malam pada 3 Ogos 2011.

Bukti menunjukkan bahawa Syahmie memecah masuk pangsapuri Rohani dengan niat untuk mencuri. Apabila gagal menjumpai barang berharga, lelaki itu menunggu kepulangan wanita berkenaan.

Ketika berlaku pergelutan, Rohani menggigit jari penyerangnya dan sebagai tindak balas, lelaki itu menolaknya hingga terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja. Apabila mendapati wanita itu masih hidup, tertuduh menjerut mangsa dengan kain langsir hingga wanita itu tidak lagi bernyawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN