BESUT: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga disyaki dirogol rakan lelaki dalam kejadian di daerah ini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ahli keluarga mangsa kira-kira pukul 8 malam.
“Kejadian rogol itu dikatakan berlaku pada Februari lalu melibatkan mangsa perempuan di bawah umur berusia 15 tahun yang belajar di sebuah sekolah menengah di daerah Besut.
“Mangsa dipercayai telah dirogol oleh seorang kenalan lelaki berusia 16 tahun yang turut bersekolah di tempat sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan, dalam kejadian berasingan, mangsa turut mendedahkan telah dicabul oleh dua lagi kenalan lelaki yang berbeza berusia 16 tahun dan mereka juga merupakan pelajar di sekolah sama.
Katanya, pihaknya kini sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










