Pelabuhan Klang mampu jadi 10 pelabuhan tersibuk dunia - Utusan Malaysia

Pelabuhan Klang mampu jadi 10 pelabuhan tersibuk dunia

Pelabuhan Klang
ANTHONY Loke Siew Fook bermesra dengan pelatih Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan dekat Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pelabuhan Klang diyakini berupaya mencapai sasaran menjadi 10 pelabuhan tersibuk di dunia tahun ini apabila mencatatkan peningkatan kendalian kontena dagangan import dan eksport sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan pencapaian pelabuhan itu yang meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-11 tahun lalu selepas diumumkan Lloyd List, baru-baru ini.

“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, pelabuhan itu mencatatkan pertumbuhan positif dan hanya dibezakan 400,00 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dengan Pelabuhan Hong Kong.

“Pemerhatian mendapati trend Pelabuhan Klang semakin meningkat dan saya yakin kita mampu mencapai ‘top 10’ dunia tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, hari ini.

Jelasnya, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) perlu memastikan kelancaran semua fasilitinya bagi merealisasikan sasaran tersebut.

“Kita perlu menghasilkan produktiviti yang tinggi daripada pekerja pelabuhan termasuk melibatkan isu kesesakan atau peraturan.

“LPK juga perlu membantu menyelesaikan masalah operasinya secepat mungkin. Apabila ia selesai, sudah tentu produktiviti juga akan semakin tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, indikator positif ekonomi negara turut meliputi jumlah kendalian TEU import dan eksport di sektor pelabuhan negara meningkat peratus tahun ini.

“Sehingga tempoh Jun lalu, jumlah kendalian kontena negara meningkat 11 peratus iaitu 14.98 juta TEU berbanding 13.48 juta TEU pada tahun lalu.

“Pertumbuhan ini menunjukkan ekonomi negara semakin berkembang dan keperluan terhadap perkhidmatan pengangkutan dan logistik juga meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Fook memaklumkan, objektif utama program latihan berkenaan bertujuan menangani isu kekurangan pemandu haulier sekali gus meningkatkan kecekapan dalam sektor pelabuhan dan logistik.

“Program ini dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Pengangkitan, LPK dan pihak berkuasa pelabuhan lain.

“Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) memutuskan supaya pelabuhan melatih 1,000 pemandu bagi memperoleh lesen E dan lesen vokasional GDL E bagi membantu industri haulier mengatasi masalah kekurangan pemandu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN