KANGAR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima suapan bernilai RM12,000 sebagai dorongan terhadap kes jenayah yang disiasat pada 2019.
Bagaimanapun, tertuduh K.Poobalan, 46, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Bagi pertuduhan pertama, Poobalan didakwa menerima suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai berjumlah RM6,000 pada 24 April 2019.
Manakala untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai berjumlah RM6,000 pada 15 Mei 2019.
Poobalan didakwa menerima wang itu melalui akaun bank miliknya daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya melibatkan penyiasat kes jenayah.
Kesalahan bagi kedua-dua kes itu didakwa dilakukan di sebuah bank sekitar kawasan Padang Besar, Perlis.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun dengan denda atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh turut diwakili peguam.
Sewaktu prosiding berkenaan, pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua pertuduhan itu, selain perlu menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam tertuduh menerusi hujahannya memohon agar mahkamah dapat memberikan jaminan minima kepada tertuduh itu yang mempunyai tiga orang anak di samping perlu menanggung seorang ibu sakit tua bersama bapa mertuanya.
Peguambela tertuduh juga memohon agar passport anak guamnya itu tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan dia tidak berisiko untuk melarikan diri dan akan memberi kerjasama kepada mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua pertuduhan itu, selain passport tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh membayar jaminan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Oktober depan.-UTUSAN










