KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada 21 hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan membawa kelainan dengan menganjurkan Eksplorasi Kerjaya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penganjuran karnival berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen UMNO yang mempelopori agenda TVET negara.
“Buat kali pertama dalam sejarah tanah air, TVET ini diarusperdanakan dengan suatu dasar TVET yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu.
“Dasar TVET amat mustahak untuk kita menguar-uarkan secara besar-besaran kerana ia merupakan agenda penting bagi anak-anak muda,” katanya dalam sidang akhbar sempena PAU 2024 di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Tambah Asyraf, ia juga bertujuan memastikan tiada anak muda yang terpinggir dan tercicir daripada arus pendidikan.
Katanya, karnival berkenaan akan memfokuskan empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, ‘Top Show Ikon TVET’ dan konsultasi percuma berkenaan dengan latihan-latihan yang boleh diceburi.
Terdapat sembilan sektor TVET yang akan mengadakan pameran antaranya kluster teknologi automotif, penerbangan, maklumat, pembuatan termaju, rel, perladangan moden, pertanian dan peternakan, pembinaan serta perkhidmatan. – UTUSAN










