KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu berlawan dengan Pas dan Bersatu hanya untuk membuktikan `siapa lebih Melayu, lebih Islam atau siapa menjuarai Melayu’.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ini kerana ketika Pas dan Bersatu masih berkhayal dengan menjaja isu-isu tersebut, UMNO sudah berjuang untuk mempertahankan Melayu dan Islam.
Oleh itu, katanya, ketika ini bukan masanya untuk UMNO membuktikan siapa lebih Melayu dan Islam atau siapa menjuarai Melayu dan siapa yang menjuarai Islam.
“Kita semua mengucap syahadah yang sama, namun bezanya hanya pendekatan yang dibawa.
“Perlu sedar bahawa retorik perkauman yang melampau hanya akan merosakkan fabrik sosial masyarakat,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Kata Noraini, hakikatnya kini ialah UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu kerana parti itu adalah perjuangan Melayu itu sendiri.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, perbezaannya antara ketiga-tiga parti itu juga boleh dilihat jelas dalam soal ekonomi, hubungan antara kaum dan di arena antarabangsa.
“Dalam ekonomi Pas masih berteori, Bersatu masih tercari-cari, tetapi UMNO telah lama berbudi!
“Dalam hubungan antara kaum – Pas mengasingkan, Bersatu mengelirukan, tetapi UMNO menyatukan.
“Dalam arena antarabangsa – Pas terpencil, Bersatu baharu belajar berdiplomasi, tetapi UMNO telah lama dihormati,” katanya.
Oleh itu, katanya, UMNO menawarkan keseimbangan yang unik, menghormati tradisi sambil mendepani modenisasi.
“Ideologi UMNO ini bukan fosil sejarah. Perjuangan ini tidak pernah sekali berubah,” katanya.- UTUSAN










