NUBE tidak dibenar merayu isu MoU dengan HSBC

NUBE tidak dibenar merayu isu MoU dengan HSBC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu pertikaian dengan HSBC Bank Malaysia Bhd. melibatkan isu skim pemisahan sukarela (VSS) pekerjanya, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli sebulat suara menolak permohonan kesatuan itu dan memerintahkannya membayar kos RM30,000.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang berpuas hati, memorandum persefahaman (MoU) di antara kesatuan tersebut dan bank berkenaan pada 2010, tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang.

Koram berkenaan berpendapat, MoU itu tidak mengikat kerana ia tidak didepositkan dengan Mahkamah Perusahaan untuk dipertimbangkan, sekaligus tidak mematuhi Seksyen 17(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Sehubungan itu, mahkamah tertinggi negara berpuas hati, keadaan tersebut tidak mewajarkan panel berkenaan membenarkan kesatuan itu untuk merayu keputusan terdahulu.

Pada 24 Jun 2010, NUBE dan HSBC menandatangani MoU untuk memastikan hak majikan-pekerja semasa dilindungi ketika penstrukturan semula kerja.

MoU tersebut menyatakan, HSBC akan memberikan notis tiga bulan kepada NUBE sebelum bank itu melaksanakan VSS atau pemberhentian pekerja.

Bagaimanapun, pertikaian timbul apabila kesatuan itu mendakwa, bank hanya memaklumkan pelaksanaan VSS pada Disember 2016, sebelum melaksanakannya pada Februari 2017.

Tidak berpuas hati dengan tindakan bank, NUBE membawa perkara itu ke Mahkamah Perusahaan, yang kemudiannya menolaknya pada 2019 atas alasan MoU itu tidak didaftarkan.

NUBE juga gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengetepikannya dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Peguam K. Shanmuga mewakili NUBE manakala N. Sivabalah, Reena Enbasegaram dan Sachin Niranjan Thavalingam mewakili HSBC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN