Nelayan dikhuatiri hilang di perairan Dungun - Utusan Malaysia

Nelayan dikhuatiri hilang di perairan Dungun

TENGKU KHAIRUL ASMAWI NIZAM TENGKU HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang dari menangkap ikan di perairan Dungun dekat Pulau Tenggol, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa,
Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, dari Kampung Sura Hujung turun ke laut kira-kira pukul 6.15 pagi bersendirian dengan menaiki bot gentian kaca dengan pendaftaran TRS 3814.

“Adik lelaki mangsa yang berusia 34 tahun, membuat laporan polis selepas mendapati abangnya tidak pulang sehingga lewat petang semalam dan mangsa juga gagal dihubungi dengan telefon bimbit.

“Adik mangsa bimbang dengan keselamatan abangnya berikutan kebiasaannya mangsa akan pulang tengah hari selepas menangkap ikan,” katanya di sini, hari ini.

Maizura berkata, adik mangsa mendakwa abangnya yang sering menangkap ikan di Pulau Tenggol, dilihat kali terakhir berada di tengah laut di kawasan pulau itu.

Sementara itu Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi mencari dan menyelamat (Ops Carilamat) mula diaktifkan sejak pukul 7 petang semalam bagi mencari nelayan tersebut.

“Cuaca buruk dan laut bergelora yang melanda perairan Dungun dan Kemaman menyukarkan usaha pencarian awal mangsa, bagaimanapun operasi akan diteruskan pagi ini,” katanya.

Ariffin turut menyeru komuniti nelayan atau orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk memaklumkan maklumat segera kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman di talian 09-8582354. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN