SEREMBAN: Kesukaran dihadapi seorang pekerja kilang yang terlantar selepas terlibat kemalangan baru-baru ini, mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan bantuan.
Pengerusi Pertubuhan Sepakat Nilai, Syed Alwi Syed Jaafar berkata, sumbangan katil itu bagi mengurangkan beban dihadapi Hishammuddin Isa, 34, yang terlibat kemalangan di Jalan Besar Nilai Pajam di sini.
“Akibat kemalangan tersebut, dia mengalami patah tulang paha kaki kanan, retak dua tulang rusuk dan luka di sebahagian badan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pangsapuri Cempakapuri Nilai di sini.
Beliau berkata, Hishamuddin yang merupakan bapa kepada seorang anak hanya bekerja kilang dan kini dijaga oleh bapanya berusia 64 tahun yang juga penjual kek.
“Keluarga ini hanya bergantung pendapatan hasil jualan kek tersebut. Selain katil pesakit, pihak keluarga memohon bantuan untuk menaik taraf tandas rumah bagi memudahkan Hishamuddin. Kami akan ikhtiarkan untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, sumbangan yang diterima dapat memudahkan pergerakannya.
“Buat masa ini, saya hanya mampu terlantar dan doktor juga memaklumkan keadaan saya mengambil masa setahun untuk pulih,” katanya. – UTUSAN










