Mengaku tak bersalah ugut bekas teman wanita guna pisau

Mengaku tak bersalah ugut bekas teman wanita guna pisau

TERTUDUH, S. Darvin (kanan) ketika tiba di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bekas kekasihnya, minggu lalu.

Tertuduh, S.Darvin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang bekerja sebagai penghantar makanan didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap R. Sivarubini,27, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya Lotus, Bagan Ajam di sini, pada pukul 8.30 malam pada 4 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani yang menawarkan jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima atas alasan pendapatan bulanannya hanya RM2,500 selain perlu menanggung ibu dan bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang ramai ketika diserang bekas teman lelakinya di sebuah pasar raya di Bagan Ajam di sini, pada Ahad lalu.

Mangsa yang merupakan warga tempatan mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri susulan diserang suspek menggunakan senjata pisau.

Insiden berkenaan turut tular menerusi satu rakaman video berdurasi 28 saat menunjukkan lelaki tersebut memegang sebilah pisau sambil merangkul leher bekas teman wanitanya di dalam pasar raya terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×