GEORGE TOWN : MCA tidak akan menjadi seperti parti-parti lain yang bertindak menggunakan saluran mahkamah untuk menutup mulut penganalisis daripada mengkritik parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebaliknya, MCA menghormati kebebasan bersuara dan beliau akan terus bekerja bagi memastikan parti itu kekal bermaruah serta bermaya pada pandangan rakyat.
”Kita sudah lali dengan apa juga pandangan. Bagi saya, kita perlu buat kerja dengan betul, kita sucikan niat kita buat apa yang patut, itu sahaja.
”Penganalisa (penganalisis) ini saya ucapkan terima kasih. Saya tidak mahu cakap lebih sebab kita menghormati hak kebebasan bersuara. Saya tidak seperti orang lain.Nak ambik tindakan mahkamah buat apa?” soalnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan penganalisis yang berpendapat, ‘tidak banyak’ boleh dilakukan MCA dan MIC ketika ini untuk membantu Barisan Nasional (BN) kembali dominan dalam dua atau tiga pilihan raya umum seperti disasarkan Naib Presidennya, Johari Abdul Ghani.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kedudukan dua rakan komponen UMNO itu yang jika digabungkan hanya mempunyai tiga wakil rakyat di Parlimen menyebabkannya dilihat sukar untuk berdiri sendiri.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sememangnya beliau berasa penat untuk berjuang berseorangan di Parlimen, namun, beliau akan teruskan perjuangan tersebut demi rakyat.
”Saya tidak akan berhenti selagi masalah rakyat tidak selesai. Saya akan jalankan tanggungjawab dan kewajiban saya. Walaupun satu ketika pernah dimaki hamun, tetapi, akhirnya terbukti apa yang saya sebutkan itu betul. Bukan kata kita pandai, tetapi, sekurang-kurangnya kita tahu denyutan nadi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong turut menyeru semua ahli MCA agar bersiap siaga sebagai satu parti politik dengan mendampingi rakyat secara proaktif setiap masa.
“Apa yang paling penting ialah, kita bukanlah macam bidang terjun, kita kena tunjukkan bahawa kita sentiasa berada di lapangan dan bersama rakyat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada MCA akan bersama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang, Ka Siong berkata, beliau tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut mengenai isu itu.
”Saya tidak mahu masuk bahagian ini, saya tahu apa soalannya, saya tahu apa yang MCA kena buat. Manusia ini berimpian, tetapi, akhirnya Tuhan atau takdir akan datang, kita tidak tahu apa nak buat,” katanya.-UTUSAN










