MB Selangor tidak nafi rombakan exco - Utusan Malaysia

MB Selangor tidak nafi rombakan exco

Rombakan
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan dakwaan rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dilakukan, namun bergantung kepada kesesuaian tertentu yang disumbang pelbagai faktor.

Beliau berkata, bagaimanapun selepas setahun pentadbiran kerajaan negeri sejak pilihan raya negeri (PRN) 2023, kesemua anggota exco itu menunjukkan prestasi yang baik, namun masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan.

Menurutnya, berita sedemikian juga perlu menjadi peringatan kepada kesemua pimpinan untuk bekerja dengan lebih baik untuk memastikan setiap yang dijanjikan itu dilaksanakan dan mencapai sasaran ditetapkan.

“Kalau tanya kemungkinan, ia tetap ada pada bila-bila masa ikut kesesuaian kadang-kadang disebabkan sakit, kematian dan faktor-faktor lain, saya tak kata tak boleh langsung.

“Tetapi, bagi saya buat masa ini saya mempunyai pasukan yang mantap di Selangor, kami gembira bekerja bersama-sama dan diakui perlu ada peningkatan prestasi untuk kita memantapkan perkhidmatan selepas setahun (pentadbiran),” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu, pada mesyuarat MMKN minggu lalu, beliau mengingatkan kesemua exco secara umum untuk mempertingkatkan prestasi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenalpasti pencapaian yang hendak ditonjolkan.

Terdahulu, tular dakwaan rombakan exco akan berlaku di negeri ini yang menyatakan dua exco daripada PKR dan DAP akan digantikan, bagaimanapun perkara itu dinafikan Setiausaha Akhbar kepada Amirudin, Saifuddin Shafi.

Malah, Amirudin mengulas lanjut beliau akan mengadakan siri jelajah bersama barisan exco dan kesemua pegawainya, ahli-ahli majlis, semua ADUN dan ketua-ketua kampung dalam sesi berbeza.

“Saya hendak ingatkan mereka ada beberapa task dan juga tanggungjawab yang mereka kena jalankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab kewujudan dakwaan akan pergi ke Kabinet sebagai pemimpin tertinggi parti bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau akan memberi keutamaan kepada pentadbiran negeri untuk menyempurnakan dasar yang dirancang, namun tidak menafikan perlu akur dengan kepimpinan parti sekiranya perlu berbuat demikian.

“Setakat ini tak ada apa-apa angin kepada telinga saya atau berita yang saya akan ditarik ke sana.

Tetapi, untuk memastikan (secara peribadi), untuk kelangsungan perancangan yang kita buat, saya prefer untuk stay sebab saya hendak pastikan semua Rancangan Selangor, Pembangunan Wilayah Sabak Bernam (SABDA), Pembangunan Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) SABDA, IDRISS semua kita dapat laksanakan.

“Kalau tidak nanti penyesuaian berlaku, ia akan effect kepada performance state dan juga party at large,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×