Mayat tanpa kepala disahkan Cikgu Istiqomah

Mayat tanpa kepala disahkan Cikgu Istiqomah

SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret, Alor Gajah, Melaka semalam untuk memohon perintah sambung reman sehingga 18 Ogos ini. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini, disahkan sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu, mendapati ia sepadan dengan mangsa yang juga seorang guru.

“Hasil ujian mendapati ia sepadan dengan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada 31 Disember 2023. Mangsa dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi yang dilaporkan hilang di Johor pada 23 Disember 2023,” katanya.

Tambah Ashari, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama JSJ IPK Johor menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak minggu lalu.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 6 Ogos hingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki merupakan kenalan mangsa dan berhubung dengan wanita itu atas urusan pelaburan mata wang. Isteri suspek tidak mengenali guru tersebut.

“Penahanan tersebut membawa kepada penemuan anggota badan lain seperti tulang jari dan tengkorak mangsa, kira-kira lima hingga enam kilometer (km) dari mayat dijumpai. Motif kejadian masih dalam siasatan,” jelasnya.

Semalam, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada pukul 9.10 pagi.

Perintah sambung reman sehingga 18 Ogos ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 6 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, mayat wanita dalam keadaan bogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibuang dalam tong sampah ditemukan orang awam berhampiran sebatang longkang di Kampung Rimau pada 31 Disember 2023.

Sementara itu Ashari berkata, jenazah Allahyarham Istiqomah belum boleh dituntut oleh warisnya.

Beliau berkata, proses bedah siasat sudah selesai dilakukan namun beberapa bahagian tubuh mangsa belum ditemukan.

“Bedah siasat semua sudah selesai. Masih ada anggota badan yang belum dijumpai. Waris boleh menuntut jenazah selepas beberapa perkara di­selesaikan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×