KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana masih menjaja mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen menerusi Akuan Bersumpah (SD) sedangkan jumlah dijajanya itu turut dipertikai Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu.
Perdana Menteri berkata, dalam soal SD diperoleh Muhyiddin itu, terdapat pertindihan membabitkan ahli Parlimen yang menurunkan tandatangan ke atas dokumen tersebut.
“Setakat yang saya faham diikuti pandangan raja-raja dan Peguam Negara pada masa itu yang dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin, mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, itu kenyataan, jelas,” katanya selepas menjamu selera di Gertak Merah di Kampung Sungai Penchala, di sini, semalam.
Peguam Negara ketika kemelut pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah Tan Sri Idrus Harun.
Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini mengelak menjawab isu sokongan 115 SD terhadap Muhyiddin namun Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu terus menjajanya dan ia mengelirukan.
“Yang di-Pertuan Agong ini (kuasanya) tertakluk kepada Perlembagaan apabila kedudukan tidak jelas kerana Tan Sri Muhyiddin kata ada 115 (SD), Anwar pun kata ada 115 (SD), jadi Tuanku terpaksa buka balik dan semak (Perlembagaan) untuk menyakinkan dirinya.
“Sebab itu dalam Perlembagaan dikatakan mengikut pandangan Tuanku setelah melihat semua. Maka selepas itu, Tuanku memanggil sidang Majlis Raja-Raja untuk berbincang dan keputusan itu dikemukakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau enggan menjawab isu 115 SD diperoleh Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini kerana tidak melihatnya sebagai satu isu.
“Masalah dia apa, masalah dia adalah kenyataan yang ditafsir sebagai menghina dan mempertikai kuasa raja, itu dia.
“Kalau betul beliau bawa 115, tetapi Tuanku lihat ada ahli Parlimen sudah turunkan tandatangan sini, pada masa sama di sini juga (ada tandatangan), kemudian ada parti di mana ahli Parlimen dah beri mandat penuh kepada ketua parti untuk membuat keputusan dan ia mutlak, tak boleh dipertikai,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin dilapor menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu beliau menyentuh institusi raja semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Antara dokumen diserahkan ialah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Media baru-baru ini, melaporkan sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Rentetan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan ke atas bekas Perdana Menteri berkenaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada warga penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Nengeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya, Anwar berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan siasatan terhadap Muhyiddin berhubung isu bekas Perdana Menteri itu menyentuh institusi raja semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Sebaliknya, Perdana Menteri memberi jaminan untuk mengikut jalur undang-undang dan menyerahkan siasatan berkenaan kepada Peguam Negara.
“Setakat ini kita ikut jalur (undang-undang), serah pada siasatan dan juga Peguam Negara, saya tidak campur urusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menyekat mana-mana organisasi media dalam membuat liputan program agensi keselamatan itu.
Untuk itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan menghubungi segera PDRM berhubung perkara berkenaan sebagaimana yang berlaku kepada portal berita Malaysiakini, kelmarin.
Terdahulu, Malaysiakini dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Razarudin. – UTUSAN










