Majikan bayar sewa kediaman warga asing digempur imigresen

Majikan bayar sewa kediaman warga asing digempur imigresen

ANGGOTA Imigresen memeriksa warga asing dalam operasi di Segambut, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 unit pangsapuri didiami warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Segambut dekat sini dipercayai disewa majikan masing-masing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tengah malam tadi.

Serbuan bermula pukul 12.15 tengah malam itu dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan selama dua minggu.

Seorang warga Pakistan berusia lingkungan 40-an yang ditahan mendakwa dia menginap di unit pangsapuri itu bersama lapan rakan lain.

“Kami tidak bayar sewa, bos bayar. Kami datang duduk sini sahaja,” katanya.

Beberapa unit kediaman yang disewa itu berada dalam keadaan tidak teratur serta berbau tidak menyenangkan.

Rata-rata warga asing yang ditahan bekerja di kawasan sekitar sebagai pengawal keselamatan, pekerja restoran dan kilang.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan melibatkan 25 unit kediaman yang dipercayai disewa dan didiami warga asing dengan bayaran lingkungan RM1,500.

Katanya, seramai 102 warga asing diperiksa di dua blok berketinggian 20 tingkat.

“Seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita ditahan membabitkan 12 India, Pakistan (11), Nepal (11) dan empat Filipina ditahan dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa.

“Kita juga mengambil tindakan terhadap lima warga tempatan yang juga pemilik kediaman kerana melindungi dan membenarkan PATI berada di dalam premis mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tegasnya, JIM akan menjalankan operasi 360 darjah dan mengambil tindakan ke atas PATI serta majikan atau mana-mana orang awam yang melindunginya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN