Mahu jadi kawan, mesti perangai macam kawan - Anwar

Mahu jadi kawan, mesti perangai macam kawan – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Mahu jadi kawan, mesti perangai macam kawan. Mesti ada adab sebagai kawan.”

Demikian peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakan-rakan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang menyerangnya mengenai peruntukan kepada Sabah berjumlah RM16.6 bilion.

Kata Anwar, sekiranya tidak setuju dengan kenyataan yang dibuat semasa Pesta Kaamatan yang lepas, pemimpin-pemimpin tersebut boleh mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau.

“Kalau tidak setuju dengan kenyataan Perdana Menteri dan nak tahu keterangan, itu tak mengapa.Saya pun lama sebagai Ketua Pembangkang…bantah dan tanya boleh tapi jangan serang dan hina kita, seolah-olah saya menipu.

“Kemudian menyatakan mungkin saya tambah RM10 bilion daripada RM6.6 bilion kepada RM16.6 bilion…apa politik budak-budak,” katanya semasa Pidato Perdana Himpunan Perdana Rakyat Keadilan Sabah, hari ini.

Menurutnya, apabila pengumuman peruntukan itu dibuat semasa Pesta Kaamatan, ada Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang pertikaikan. 

“Mereka sebagai Ahli Parlimen tahu membaca buku akaun, kalau tak baca maka, tak layak untuk menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Katanya, apabila disebut tentang RM16.6 bilion, itu adalah perbelanjaan keseluruhan untuk Sabah dalam tempoh setahun bukan hanya peruntukan pembangunan. 

“Siapa hendak membayar gaji guru serta pasukan keselamatan yang menjaga sempadan dan peruntukan pembaikan jalan raya,” katanya.

HASIL CUKAI

Anwar berkata, berdasarkan hasil cukai yang diperoleh daripada Sabah, ia meliputi cukai dalam negeri berjumlah RM600,000 juta atau RM0.6 bilion, duti kastam dan eksais RM700,000 atau RM0.7 bilion, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) RM7.2 bilion dan bayaran tunai Petroleum RM1.7 bilion, jumlah keseluruhan RM10.2 bilion.

Kutipan hasil tersebut yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan yang kemudian digunakan untuk perbelanjaan mengurus agensi dan jabatan di bawah kementerian yang terlibat berjumlah RM7.6 bilion serta pemberian khas 112D RM1.2 bilion dan jumlah pemberian khas itu akan ditambah bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan.

Anwar berkata, jika dilihat perbelanjaan keseluruhan pada 2022, hanya RM12.9 bilion dan pada tahun lalu RM13.9 bilion namun, tahun ini ia bertambah kepada RM16 bilion.

Mengulas lanjut katanya, beliau memberi komitmen bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan cuba diselesaikan melalui rundingan. 

Beliau berkata, rundingan bersama Ketua Menteri dan menteri-menteri dari Sabah, Datuk Armizan Mohd. Ali dan Datuk Ewon Benedick sentiasa diadakan. 

“Jika mereka minta itu dan ini tidak mengapa tapi, minta secara baik sebagai kawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×