DHAKA: Mahkamah di Bangladesh telah mengarahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang didakwa berperanan dalam kematian seorang pemilik kedai runcit di Dhaka semasa protes yang diketuai oleh pelajar bulan lalu.
Kes yang difailkan warga Bangladesh, Amir Hamza terhadap Hasina dan enam yang lain diterima oleh ketua mahkamah majistret Dhaka, kata peguamnya, Anwarul Islam.
Katanya lagi, Majistret Rajesh Chowdhury telah mengarahkan polis bagi menyiasat kes itu.
Ini merupakan kes pertama yang difailkan terhadap Hasina selepas rusuhan ganas anti-kerajaan yang mengorbankan kira-kira 300 orang kebanyakannya dari kalangan pelajar kolej dan universiti sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos.
Tertuduh lain selain Hasina ialah Setiausaha Agung parti Liga Awami, Obaidul Quader, bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal dan pegawai kanan polis.
Hamza mendakwa Hasina mainkan peranan dalam insiden tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis terhadap penunjuk perasaan sehingga membunuh peniaga runcit, Abu Saeed yang sedang melintas jalan di kawasan Mohammadpur, Dhaka.
Pengadu menyalahkan Hasina kerana telah meminta polis untuk mengambil tindakan tegas seperti tembakan bagi menyuraikan penunjuk perasaan sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan Saeed tetapi melakukannya secara sukarela memandangkan keluarga peniaga runcit tersebut tidak mempunyai kewangan bagi memfailkan kes itu.
“Saya adalah rakyat biasa pertama yang menunjukkan keberanian untuk mengambil langkah undang-undang ini terhadap Sheikh Hasina atas jenayahnya dan saya mahu lihat kes ini berakhir,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu, Hasina mengeluarkan kenyataan pertama di laman sosial X milik anaknya sejak beliau meletakkan jawatan dan melarikan diri dari negara tersebut menuntut siasatan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan pelajar dan yang lain semasa protes tengah berlangsung.
Protes anti-kerajaan yang diketuai oleh pelajar bermula dengan tunjuk perasaan menentang sistem kuota dalam sektor pekerjaan sebelum melonjak ke arah protes ganas bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Hasina.-AGENSI










