SUNGAI SIPUT: Pertengkaran mengenai tunggakan wang sewa rumah dipercayai menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam dalam kejadian di Kampung Lasah, di sini Khamis lalu.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun telah pergi ke rumahnya untuk bertemu penyewa bagi membincangkan sewa rumah yang telah lama tertunggak.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, ketika itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan penyewa berusia 40 tahun selepas dia diminta melunaskan tunggakan sewa.
Katanya, ekoran tunggakan sewa yang banyak, mangsa telah meminta lelaki itu agar mengosongkan rumah berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan hingga mangsa terkena tikaman pada belakang badan selain cedera lengan kanan ketika menepis pisau.
“Mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Sungai Siput bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini.
Menurut beliau, tangkapan ke atas suspek yang juga penganggur itu dibuat pada hari sama selepas menerima laporan daripada mangsa.
Katanya, suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebaik sahaja siasatan lengkap, kita akan rujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk pertuduhan,” ujar beliau. – UTUSAN










