SHAH ALAM: Kerajaan Selangor membangunkan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) bagi menyelia dan menyusun sistem pemetaan utiliti bawah tanah di negeri ini sejak 2020.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan itu penting bagi membuat proses penyusunan dan mendapatkan pemetaan berkaitan utiliti yang berada di bawah tanah.
Menurutnya, kerajaan terpaksa berbelanja lebih kerana pengalihan utiliti diperlukan bagi sesebuah projek infrastruktur yang kosnya meningkat sehingga lima kali ganda.
“Menerusi pelaksanaan KUSEL, perancangan itu dapat disediakan dan projek yang direncanakan boleh disiapkan mengikut jadual.
“Justeru, kita dapat menyusun fasiliti dan kemudahan yang ingin dibangunkan supaya kosnya lebih efektif,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024, hari ini.
Terdahulu, seorang wanita warganegara India masih belum ditemui selepas terjatuh ke dalam lubang benam dekat Masjid India, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Amirudin, menjelaskan sebahagian pelaksanaan KUSEL juga bertujuan mengelak insiden luar jangka melibatkan bawah tanah di Selangor.
“Ia berupaya mengetahui secara khusus apakah utiliti yang ada di bawah jalan atau bawah tanah di dalam kawasan kita. Selangor juga perlu bersiap siaga tetapi tidak boleh ‘jump to conclusion’ yang terlalu awal mengenai insiden itu,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri perlu menunggu laporan penuh mengenai insiden berkenaan daripada jabatan berkaitan.
“Ia supaya kita boleh melihat kebarangkalian kesiapsiagaan Selangor bagi elak kemungkinan itu daripada berlaku. Itu ingatan kepada semua namun kena dapatkan dahulu laporan penuh sebab kita tidak tahu apa puncanya,” jelasnya.
KUSEL secara rasminya ditubuhkan pada 18 Disember 2020 sebagai badan penyelaras dan Penyelia Utiliti Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI). – UTUSAN










