KUALA LUMPUR: Pelakon, Fazziq Muqris, 24, menolak persepsi sesetengah pihak yang mengaitkan penurunan berat badannya dengan pengambilan Ozempic (suntikan anti obesiti).
Penyampai radio Era itu memaklumkan, perubahan fizikalnya tidak berkaitan dengan pengambilan bahan-bahan tertentu, sebaliknya disebabkan rutin senaman dan kawalan pemakanan harian yang konsisten.
“Saya tidak nafikan, memang ada individu yang sarankan saya ambil bahan-bahan tertentu untuk kurus dengan cepat.
“Tapi saya tolak. Kenapa perlu saya ambil benda-benda begitu. Selain mahal, kita tak tahu sama ada bahan-bahan itu selamat diambil atau pun tidak,” katanya yang ditemui ketika majlis Astro Wrap Party filem Kahar Kapla High Council, baru-baru ini.
Fazziq, dalam filem tersebut, dipilih untuk melakonkan watak Zahrin.
Dalam masa yang sama, Fazziq memaklumkan enggan melayan sebagan komen atau persepsi negatif yang dikaitkan mengenai perubahan fizikalnya itu.
Katanya, dia cuma berharap agar perubahan yang ditunjukkannya itu dicontohi dan menyuntik motivasi kepada individu lain untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ada yang berpersepsi, menyangka saya sakit atau putus cinta selepas melihat berat badan saya menurun. Tapi saya tak ambil peduli.
“Saya fokus untuk jadi lebih sihat. Alhamdulillah, sekarang saya berpeluang pergi ke gimnasium, lakukan aktiviti sihat, pergi mendaki bukit dan sebagainya. Aktiviti itulah yang membantu saya (menurunkan berat badan).
“Semua orang boleh lakukan seperti apa yang saya buat (untuk kurus). Ya, sekarang banyak prosedur yang kita boleh buat untuk kurangkan berat badan, asalkan mampu dari segi kewangan.
“Tapi kenapa tidak kita bersusah payah (bersenam) sebulan dua, kemudian konsisten dan akhirnya beri motivasi kepada orang lain untuk buat perkara yang sama,” katanya.










