KOTA BHARU: Perwakilan perlu menggunakan pentas Persidangan Agung UMNO (PAU) untuk menyuarakan pandangan akar umbi mengenai penyatuan ummah melibatkan kerjasama dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas.
Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berkata, pandangan majoriti ahli parti perlu menjadi indikator kepada pucuk kepemimpinan dalam menentukan hala tuju kerjasama dengan Pas.
“Secara keseluruhannya rakyat melihat penyatuan ummah itu sebagai petanda positif untuk politik orang Melayu-Islam selain untuk kestabilan negara.
“Jadi saya harap perwakilan UMNO dapat menyampaikan hasrat dan pandangan mereka berhubung penyatuan tersebut pada PAU,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fikhran Hamshi berkata, kerjasama UMNO dan Pas bukan perkara baharu kerana kedua-dua parti pernah bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
Katanya, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran supaya perkara sama tidak berulang sekiranya usaha penyatuan berkenaan direalisasikan.
“Ini adalah kerjasama kali kedua yang semasa MN lalu kita telah dikhianati. Walaupun dalam keadaan tersebut, kita mengharapkan Pas sudah sedar supaya tidak berlaku perkara sama,” ujarnya.
Kata beliau, PAU tidak seharusnya tertumpu kepada isu penyatuan parti politik sebaliknya kepentingan rakyat perlu terus menjadi agenda utama.
Menurutnya, perkara berkaitan kebajikan, polisi kerajaan serta inisiatif membantu rakyat perlu diberi perhatian terutama usaha meringankan beban kehidupan golongan pekerja dan peniaga.
“Perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kebajikan, polisi-polisi kerajaan, serta inisiatif untuk membantu rakyat terutamanya dalam kemaslahatan kehidupan,” katanya. – UTUSAN










