UK alami gangguan sistem kawalan trafik udara, 1,100 penerbangan dibatalkan

UK alami gangguan sistem kawalan trafik udara, 1,100 penerbangan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Hampir 1,100 penerbangan dari dan ke lapangan terbang di United Kingdom (UK) dibatalkan berikutan masalah teknikal yang mencetuskan kekacauan perjalanan terbaharu, menurut perkhidmatan kawalan trafik udara negara itu.

Sebanyak 1,055 penerbangan dari dan menuju ke lapangan terbang Britain dibatalkan setakat pukul 8 malam (waktu tempatan), menurut laman sesawang penjejakan penerbangan FlightRadar24.

“Masalah sistem kami kini telah diselesaikan, operasi kembali seperti biasa dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesan penerbangan yang tertangguh. Kami mengakui keadaan itu amat mengecewakan dan kami memohon maaf.

“Pemulihan daripada masalah sistem hari ini mengambil masa lebih lama daripada yang kami harapkan,” kata perkhidmatan kawalan trafik udara Britain yang dikenali sebagai NATS, menerusi platform X pada awal malam.

Gangguan itu berlaku selepas gangguan teknikal pada Julai tahun lalu menyebabkan puluhan penerbangan dari dan menuju ke UK dibatalkan serta mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengurusan syarikat penerbangan.

Lapangan Terbang Heathrow, lapangan terbang terbesar dan tersibuk Britain yang terletak di barat London, mengesahkan ia antara lapangan terbang yang terjejas pada Selasa, selain Lapangan Terbang Gatwick di selatan ibu negara itu.

“Memang mimpi ngeri di sana. Untuk keluar dari lapangan terbang itu seperti cuba melarikan diri dari Alcatraz,” kata pekerja kesihatan, Josie Donoghue mengenai keadaan di Gatwick selepas meninggalkan lapangan terbang itu.

Donoghue berkata, dia terpaksa turun dari pesawat yang dinaikinya ke Ireland selepas tiga jam terkandas di landasan.

Lapangan terbang Liverpool, Birmingham dan Edinburgh turut terjejas, manakala Lapangan Terbang Dublin di Ireland berkata, puluhan penerbangan dibatalkan.

British Airways berkata, pihaknya terpaksa membatalkan atau mengubah laluan lebih 100 penerbangan, sekali gus menjejaskan puluhan ribu penumpangnya.

Syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair berkata, lebih 65,000 penumpangnya terjejas dan pihaknya membatalkan lebih 50 penerbangan.

Kelab bola sepak Arsenal, yang dijadual menentang Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu di bandar Naples, Itali, turut terpaksa membatalkan sidang media menjelang perlawanan selepas penerbangan pasukan itu mengalami kelewatan.

Menteri Pengangkutan Britain, Heidi Alexander berkata di platform X, beliau mahu jaminan supaya pengajaran daripada kejadian itu diambil dan sistem sokongan sektor penerbangan berfungsi dengan baik..

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi Ryanair, Neal McMahon mengulangi gesaannya supaya Ketua Pegawai Eksekutif NATS, Martin Rolfe dipecat, sambil menuduhnya sekali lagi gagal melindungi kepentingan pelancong UK.

“Sudah cukup. Sudah tiba masanya kerajaan UK campur tangan dan meletakkan seseorang yang benar-benar mampu menjalankan tugas itu sebagai peneraju,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×