MELAKA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka kesal dengan tindakan sekumpulan individu yang membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan Surau Warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini lantas menganggap mereka sebagai perosak, tidak relevan dan bukan berasal dari Melaka secara terang-terangan mengabaikan sensitiviti tempatan.
Ketua DAPSY negeri, Cassel Krishnan berkata, semua kumpulan agama mesti mengelak daripada sebarang tindakan yang dilihat sebagai provokatif atau mengganggu keseimbangan harmoni antara agama.
Tegasnya, sebagai penganut Kristian, beliau mengesahkan bahawa gereja dan kumpulan Kristian di Melaka sentiasa menjalankan aktiviti awam dengan kebijaksanaan, kewaspadaan serta menjalin hubungan mesra dengan pemimpin agama lain selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Insiden ini pasti akan dikecam oleh pemimpin Kristian lain sebagai kejadian terpencil dan tidak bijak. Ia telah pun dikecam keras oleh Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST).
“Saya dengan tegas menasihati tiada mana-mana pihak terutamanya parti politik yang mungkin cuba mengeksploitasi situasi ini untuk agenda-agenda peribadi. Kita tidak harus membiarkan isu ini menjadi tunggangan untuk memecah belahkan masyarakat.
“Apa yang kita perlukan sekarang adalah ketenangan dan usaha yang kolektif bagi mengekalkan harmoni masyarakat kita. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk berdoa untuk perpaduan dan bekerjasama ke arah membina masyarakat yang inklusif dengan menghormati dan menghargai kita semua,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan dilakukan mana-mana pihak berhubung video tular yang memaparkan kegiatan mempromosi aktiviti berkaitan agama Kristian, dipercayai berlaku di hadapan Surau Warisan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri akan membuat laporan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Berdasarkan video yang dikatakan dirakam seorang pengayuh beca, individu itu mempersoalkan niat dan kewajaran kumpulan berkenaan membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau itu. – UTUSAN











