GOMBAK: Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kapten Mohamad Halim Ahmed diarahkan bercuti selepas didakwa menipu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan bercuti itu merupakan sebahagian daripada prosedur perkhidmatan awam.
“Beliau telah mengambil cuti tetapi doktrin bahawa beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah terpakai.
“Tetapi sebagai prosedur dalam perkhidmatan awam, beliau telah diminta untuk bercuti dan mengosongkan pejabat,” katanya kepada pemberita di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan Gombak, di sini, hari ini.
Menurutnya, sementara kes dibicarakan di mahkamah, Mohamad Halim tidak akan melapor diri untuk bertugas.
Pada 1 Ogos lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menipu bekas Ketua Pengarah terdahulu berhubung kebenaran kapal membawa ‘heavy grade oil’ di perairan negara.
Mohamad Halim, 57, didakwa telah menipu bekas Ketua Pengarah JLM, Datuk Baharin Abdul Hamid apabila memperdaya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan bertarikh 27 Oktober 2020.
Surat itu menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 telah memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan” sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.
Perbuatan tertuduh menyebabkan Baharin telah mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan berkenaan yang beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan. – UTUSAN









