Kontroversi babit Rafidah Ibrahim satu pengajaran - Haris Embong - Utusan Malaysia

Kontroversi babit Rafidah Ibrahim satu pengajaran – Haris Embong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Usahawan dan penerbit filem, Datuk Haris Embong mengakui tidak wujud penyesalan hanya kerana pernah menawarkan pekerjaan kepada pengacara, Rafidah Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di syarikat miliknya Arisprop Holdings San Bhd ketika pasca pandemik Covid-19 sekitar tiga tahun lalu.

Haris berkata, dia mengenali Rafidah dalam satu pertemuan keusahawanan pada 2021 dan pelakon itu menawarkan diri untuk bekerja di syarikatnya.

“Saya mengenalinya di sebuah majlis keusahawanan pada Mac 2021. Selepas menyapa saya, dia menyatakan hasrat untuk bekerja dengan saya.

“Kemudian saya maklumkan syarikat tidak mengambil pekerja susulan pandemic Covid-19. Bagaimanapun saya bersetuju untuk mengambilnya sebagai Ketua Pegawai Pemasaran pada Jun 2021, namun khidmat ditamatkan pada 26 Ogos 2021 atas persetujuan bersama,”katanya.

Haris berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di RE Kitchen, di sini, semalam.

Turut hadir, peguam korporat kumpulan syarikat berkenaan iaitu Datuk Mohd Hifdzi Hamzah dari Tetuan Hifdzi Kee Hanisah & Co; ahli Lembaga Pengarah Arisprop Holdings, Ismail Taib dan peguam yang menguruskan kes saman fitnah, Foo Hong Chuen mewakili Tetuan Izral Partnership.

Menurut Haris, tindakan pengacara itu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya dan syarikat tidak akan membuatkan dia serik untuk membantu orang lain.

“Kalau nak cakap kesal saya secara peribadi suka membantu orang. Pengalaman itu adalah satu pengajaran buat saya. Apa yang berlaku tidak akan membuatkan saya berhenti untuk membantu orang.

“Dalam syarikat sendiri pun, ada program khas untuk membantu usahawan dan golongan asnaf. Saya tak nak disebabkan perkara begini memberi kesan buruk kepada saya dan syarikat untuk menolong orang lain,”katanya.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi, di sini, memerintahkan pelakon Rafidah Ibrahim membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Haris dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd berhubung hantaran fitnah yang dibuat di akaun media sosialnya pada 2021.

Keputusan itu dibuat Hakim Dr Mohd Johan Lee @ John Lee Kien How selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Datuk Haris Embong, 47, selaku plaintif pertama manakala syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan sejuk beku sebagai plaintif kedua.

Fida juga dikenakan faedah lima peratus setahun bermula penghakiman sehingga selesai membuat pembayaran ganti rugi itu.

Tambah Haris, sebelum ini dia tiada masalah untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, namun tiada maklum balas daripada selebriti itu.

“Daripada awal lagi saya tiada masalah untuk berbincang secara baik. Malah ketika dia memuat naik hantaran berunsur fitnah di media sosial sebelum ini, saya sudah cuba menghubungi berulang kali selain turut menghantar mesej kepadanya.

“Namun jawapan yang saya terima mengecewakan apabila dia meminta saya menunggu maklum balas daripada peguamnya.

“Kalau nak cakap fasal maaf, sebagai orang Islam kita memang disarankan untuk memaafkan orang lain.

“Malah saya juga tidak pernah meletakkan jumlah tuntutan bagi kes ini, sebaliknya denda yang dikenakan terhadapnya diputuskan oleh mahkamah,”katanya yang enggan mendedahkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat fitnah dilemparkan.

Untuk rekod, Fida pernah bekerja bersama Arisprop Holdings San Bhd sebagai ketua pemasaran syarikat berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN