Kontrak pengusaha kantin sekolah berlaku kes keracunan makanan tidak disambung - Utusan Malaysia

Kontrak pengusaha kantin sekolah berlaku kes keracunan makanan tidak disambung

JELANI SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kontrak pengusaha kantin di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri ini yang berlakunya kes keracunan makanan melibatkan 32 pelajar baru-baru ini, tidak akan disambung lagi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengusaha kantin tersebut ada membuat permohonan untuk menyambung kontrak pada sesi persekolahan baharu tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan itu tidak dapat diluluskan setelah melihat ada berlaku sedikit kecuaian hingga terjadinya kes keracunan tersebut.

“Bagaimanapun, pengusaha kantin tersebut tetap dibenarkan beroperasi sehingga kontraknya berakhir pada November ini.

“Tindakan (tidak melanjutkan kontrak) terpaksa diambil selepas mendapati perkhidmatan yang dilakukan (pengusaha kantin) adalah dalam keadaan tidak mengizinkan (berlaku kecuaian),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program al-Quran Dihati disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan (SK) Serada di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seramai 32 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun daripada sebuah SBP di Kuala Nerus mengalami pelbagai simptom keracunan makanan seperti muntah-muntah, cirit-birit dan demam.

Susulan itu, mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menerima rawatan lanjut dan ada yang terpaksa ditahan di wad.

Difahamkan, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mendapati kes tersebut berpunca daripada telur goreng yang disediakan di kantin sekolah itu.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, JPNT akan mengeluarkan satu surat pekeliling kepada semua sekolah, termasuk SBP di seluruh Terengganu untuk memantau penyediaan makanan oleh pengusaha kantin bagi mengelak kes keracunan makanan membabitkan pelajar berulang lagi pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN