GUA MUSANG: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dapat dikuatkuasakan sepenuhnya selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sepatutnya akta itu dilaksanakan pada bulan ini namun, masih dalam peringkat akhir kelulusan.
“Insya-Allah akta ini masih peringkat terakhir. Apa yang kita katakan sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 peraturan dan perintah sudahpun diangkat kepada Jabatan Peguam Negara.
“Apabila semua siap nanti, kami benar berharap kita akan dapat laksanakan akta ini,” katanya kepada pemberita selepas Kem Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas di Dewan Komuniti Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan KKM bakal menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada Ogos ini.
Dr. Dzulkefly berkata, antara peraturan yang termaktub dalam akta itu termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.
Katanya, semua peraturan dan perintah akan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.-UTUSAN










