KK Super Mart sasar buka 1,000 cawangan

KK Super Mart sasar buka 1,000 cawangan

CHAI Kee Kan (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Chow Kon Yeow (empat dari kiri) selepas merasmikan KK Super Mart di Air Itam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menyasarkan untuk membuka sehingga 1,000 cawangan perniagaan yang berkonsepkan pasar raya mini itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif rangkaian pasar raya itu, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan berkata, sehingga kini, KK Super Mart telah mempunyai sebanyak 883 cawangan di dalam dan luar negara.

Kee Kan berkata, ketika ini, pihaknya merancang untuk memperluas operasi perniagaan mereka di negeri Pantai Timur dan Kedah dalam tempoh terdekat sekali gus mampu mencapai sasaran untuk membuka sehingga 1,000 cawangan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Pada Oktober ini kita sasar 900 cawangan KK Super Mart dapat dibuka dan sudah sampai masanya untuk kita teroka pasaran baharu di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya pada majlis perasmian KK Super Mart di Air Itam yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, hari ini.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan baharu KK Super Mart di Pulau Pinang pula, Kee Kan berkata, pembukaan pasar raya cawangan Air Itam itu adalah cawangan pertama rangkaian perniagaan berkonsepkan pasar raya mini tersebut di negeri ini.

“Bagi Pulau Pinang, cawangan Air Itam adalah cawangan pertama kita dan kita rancang untuk buka 100 cawangan di negeri ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Selepas kejayaan 882 cawangan di seluruh Malaysia, Nepal, dan India, akhirnya kita mendarat di Mutiara Timur ini. Ia cawangan KK Mart pertama di Pulau Pinang dan cawangan kedai yang ke-883.

“Pihak KK akan cuba sedaya upaya menawarkan pekerjaan kepada belia tempatan. Sekiranya pekerja bekerja di KK Mart, kita akan memberi latihan kemahiran dalam bidang peruncitan kepada pekerja agar mereka boleh bekerja sambil belajar sehingga boleh mendapat diploma dan diploma lanjutan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, pihaknya juga mahu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dengan memberikan ruang kepada produk-produk tempatan terutamanya Pulau Pinang untuk dipasarkan di pasar raya berkenaan.

“Dengan ini, kami berharap dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam membina masa depan yang lebih gemilang bagi Pulau Pinang, di mana kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial terus berkembang seiring,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN