Polis giat kesan suspek baling 'molotov cocktail'  di KK Super Mart

Polis giat kesan suspek baling ‘molotov cocktail’  di kedai KK Super Mart di Satok

OBJEK yang dilempar ke arah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Polis  giat mengesan suspek yang dipercayai bertanggungjawab dengan kejadian membaling ‘molotov cocktail’ di  kedai serbaneka KK Super Mart, Jalan Satok di sini, pada 31 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching,  Asisten Komisioner Polis Ahsmon Bajah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Katanya, insiden berlaku pada Ahad lalu dan polis menerima laporan daripada pekerja kedai berkenaan.

“Ia berhubung kejadian kebakaran kotak mengandungi air minuman di kaki lima hadapan kedai serbaneka tersebut akibat dibaling menggunakan botol kaca berisi minyak tanah dan kain berwarna kuning (molotov cocktail),” katanya.

Sehubungan itu,  beliau memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan di luar batas undang-undang dalam hal ini, dan memberikan ruang proses perundangan yang sedia ada.

Kejadian itu menjadikan insiden ketiga melibatkan kedai serbaneka tersebut.

Pada 30 Mac lalu, Kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang diserang dengan ‘molotov cocktail’ pada jam 5.14 pagi.

Insiden tersebut berlaku lima hari selepas KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 25 Mac. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN