Kor Ming jangan campur tangan isu KK Super Mart - Fahmi Zainol 

Kor Ming jangan campur tangan isu KK Super Mart – Fahmi Zainol 

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dinasihatkan agar tidak campur tangan dalam isu membabitkan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di rangkaian pasar raya KK Super Mart sebelum ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol berkata, hal ini demikian kerana, perkara tersebut langsung tiada kaitan dengan beliau dan Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga tidak perlu terburu-buru untuk mengulas hal berkenaan.

“Perkara ini bukan berkisar soal sentimen perkauman dan agama sahaja tetapi ia lebih daripada itu. Kesucian nama Allah menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk menjaga dan memartabatkannya.

“Jadi, ia tiada kaitan langsung perkara ini dengan Kor Ming. Kenapa terburu-buru perlu ulas hal ini? Diam adalah lebih baik berbanding berkata-kata,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh menghentikan kempen memboikot rangkaian pasar raya KK Super Mart.

Kor Ming turut menggesa pemimpin muda dari Melaka itu supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung isu berkenaan dengan berkata reaksi Dr Akmal hanya akan memudaratkan UMNO.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jika Kor Ming faham tentang soal menghormati kesucian agama masing-masing, beliau sepatutnya tidak perlu campur tangan dalam hal itu kerana ia akan memburukkan lagi keadaan dalam negara ini.

“Daripada ulas isu ini, ada baiknya Kor Ming fokus kementerian yang dipikul oleh beliau (terlebih dahulu).

“Sepatutnya biarkan pihak berkuasa sahaja yang mengambil dan menjalankan tindakan selanjutnya, bukannya Kor Ming ‘menambah garam’ dengan memberi ulasan lanjut mengenai perkara ini. Tak semua perkara perlu bersuara.⁠

“Perkara ini sebenarnya bukan sekadar sentimen perkauman dan agama tetapi ia lebih daripada itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN