‘Operasi pembenihan awan belum nampakkan hasil’

‘Operasi pembenihan awan belum nampakkan hasil’

KAPASITI efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang berubah disebabkan oleh cuaca panas yang berlaku di seluruh negara termasuk Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Meskipun operasi pembenihan awan sudah dijalankan selama dua hari bermula kelmarin, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih belum merekodkan tanda-tanda hujan akan turun di dua kawasan tadahan air (KTA) di Pulau Pinang iaitu di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, justeru katanya, operasi pembenihan awan itu setakat ini dilihat tidak berupaya untuk meningkatkan kapasiti efektif di kedua-dua empangan terbabit.

“Dalam hal ini, berkemungkinan faktor penyebabnya adalah keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan. Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu. 

“Jadi, jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan dan jatuh, pembenihan awan mungkin tidak merangsangkan sebarang hujan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, pihaknya bagaimanapun berharap agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang, bulan depan.

OPERASI pembenihan awan dijalankan dengan menggunakan pesawat milik TUDM di KTA Empangan Air Itam dan Teluk Bahang, Pulau Pinang

“Kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam adalah 2,160 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 JL.

“Justeru, dari segi isipadu air, penurunan sebanyak satu peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang (182.4 ML) secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.

“Dalam hal ini, kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu namun telah meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikannya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus pada hari ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam pada hari ini adalah sebanyak 37 peratus berbanding 1 Januari lalu dengan bacaan 68.9 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pula sebanyak 79.1 peratus iaitu perbezaan sebanyak 16.3 peratus pada tempoh sama (1 Januari).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN