PETALING JAYA: Kerajaan akan melihat keperluan untuk memperluas strategi pemasaran jenama tempatan melalui kaedah Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) serta memperluas penggunaan bahan-bahan halal dalam industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal.
Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat itu selepas didapati hanya 11 peratus daripada keseluruhan Taman Industri Halal yang dibangunkan sejak 2009 mencapai matlamatnya.
“Saya lihat pembangunan kesemua 14 Taman Industri Halal yang berkeluasan 13,533.11 ekar ini berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing. Ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu tetapi juga akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
“Oleh itu, saya sangat berharap agar platform ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat untuk membawa industri halal Malaysia ke tahap yang lebih tinggi seterusnya menjadikan Malaysia peneraju dalam industri halal dunia. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat mengenal pasti beberapa isu utama antaranya kekurangan insentif yang jelas bagi Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), infrastruktur yang masih belum mencukupi, serta keterbatasan rangkaian pengangkutan awam.
Justeru, katanya, semua itu perlu diperbaiki untuk menarik lebih ramai pelabur dan menggalakkan pembangunan yang lebih holistik.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Halal Development Corporation (HDC) sebagai sekretariat bagi Jawatankuasa Petugas ini,” katanya. – UTUSAN










