Kenyataan Hadi Awang cetus naratif perpecahan 1980-an

Kenyataan Hadi Awang cetus naratif perpecahan 1980-an

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menggelar parti politik lawan sebagai lebih ‘dajal daripada dajal’ boleh mewujudkan naratif seperti 1980-an yang mengundang perpecahan masyarakat Islam.

Majlis Ulama UMNO (MUU) dalam satu kenyataan menzahirkan kekesalan atas sikap dan cara berpolitik Abdul Hadi di pentas demokrasi yang keras dan kasar sehingga menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai lebih ‘dajal” daripada “dajal’.

“Naratif politik sebegini akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong Pas dan UMNO pada awal 1980-an menerusi cetusan amanat dan ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019. 

“Politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baharu masyarakat Malaysia,” katanya hari ini.

Semalam, Abdul Hadi mendakwa UMNO dan Pakatan Harapan (PH)  masih menggunakan politik bohong dan kebendaan.

Menurut beliau, politik wang menyebabkan keruntuhan UMNO yang telah berkuasa sehingga membarah ke dalam pemilihan partinya di semua peringkat. 

Seterusnya, membawa pula penyakit itu ke dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam menjadikan mereka mangsa rasuah politik yang merosakkan agama dan bangsa. 

“UMNO yang rosak bersama PH meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahan kerajaannya. Ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal. 

“Mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokongnya, pada masa yang sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi. 

“Mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada dajal yang tidak memungut cukai,” katanya di Facebooknya.

MUU berkata, umat Islam umumnya mengenali susuk dajal menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia.

Ia menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa di akhir zaman sebelum kiamat.

“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia.

“MUU mengajak semua pihak khususnya para alim ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi Malaysia dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×