GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan mempersoalkan tindakan Pas yang dilihat baharu sibuk membela nasib masyarakat Orang Asli sehingga sanggup melantik seorang pegawai di Pusat Khidmat Wakil Rakyat sebagaimana tertulis dalam manifesto sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tindakan tersedak itu bertujuan meraih sokongan selepas masyarakat berkenaan sebati menyokong BN sebagai parti yang terbukti membela nasib Orang Asli.
“Mengapa baru sekarang sibuk nak membela nasib Orang Asli, kenapa tidak buat dari dahulu. Takkan nak tunggu pilihan raya baharu nak berjanji, sepatutnya dari dulu mereka berbuat demikian dengan melantik pegawai dalam kalangan Orang Asli di Pejabat Menteri Besar sebagaimana dilakukan oleh Perak.
“Saya yakin, jika ada PRK di kawasan yang mempunyai penduduk dari masyarakat Siam, nescaya mereka (Pas) akan melantik pegawai dalam kalangan masyarakat itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Ahmad Jazlan memberitahu, beliau yakin masyarakat Orang Asli tidak mudah untuk ‘digula-gulakan’ kerana mereka tahu jasa yang dicurahkan BN dan Kerajaan Persekutuan hari ini menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Katanya, beliau berharap Orang Asli akan terus menyokong BN dan Kerajaan Persekutuan bagi membela nasib mereka selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan yakin BN mampu merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada PRK Sabtu ini.
Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang dilakukan oleh seluruh jentera BN. – UTUSAN










