SHAH ALAM: Kekasih Allahyarham Muhamad Nidza Afham yang memaklumkan kehilangannya pada awal pagi semalam.
Adik Allahyarham, Aufahanie berkata, kekasih Allahyarham yang hanya dikenali sebagai Mira memaklumkan hal tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Ketika itu sudah pukul 1.30 pagi dan kami sekeluarga sudah tidur. Kalau dia (Mira) tidak maklumkan, kami pun tidak tahu abang tiada dalam biliknya.
“Dia juga orang yang terakhir berkomunikasi dengan abang menerusi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA), di sini, hari ini.
Menurutnya, Mira kini menemani ibunya yang kini berada dalam keadaan lemah.
Sementara itu kata Aufahanie, pihak polis telah melakukan proses soal siasat bagi mendapat petunjuk kes tersebut.
“Soal siasat membabitkan ayah, abang dan adik. Dua orang lelaki penarik kereta yang membantu mencari abang di jambatan juga disoal siasat,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Allahyarham Nidza Afham, 23 ditemui di Jambatan Sungai Klang.
Mangsa dipercayai hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang. – UTUSAN








