GEORGE TOWN : Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo yang sebelum ini bercuti lebih dua minggu akibat masalah kesihatan dilaporkan telah kembali bertugas sejak semalam.
Jagdeep memaklumkan, keadaan kesihatannya kini semakin baik dan beliau boleh bekerja seperti biasa selepas dibenarkan keluar dari wad oleh doktor.
“Saya lebih baik, boleh bekerja. Tapi, saya masih dalam proses pemulihan. Saya juga perlu teruskan rawatan susulan terutama di bahagian kaki,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Hab Pendidikan Kecergasan Buatan (AI) Pulau Pinang di Tech Dome, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat telah bercuti selama 11 hari iaitu sejak 22 Julai lalu.
Tindakan tersebut bagaimanapun mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin tersebut telah diarah untuk bercuti daripada tugasnya dalam pentadbiran negeri atas sebab-sebab yang tertentu.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tampil menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa beliau telah meluluskan cuti tersebut bagi membolehkan Jagdeep mendapatkan rawatan pada kakinya.
Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Jagdeep juga diberikan lanjutan cuti iaitu sehingga 9 Ogos (hari ini) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keadaan fizikalnya yang kelihatan lebih kurus ketika ini, Jagdeep secara berseloroh berkata, perkara itu berlaku kerana beliau tinggal di hospital.
“Saya nampak kurus, itu akan jadi bila duduk di hospital, tidak ada makanan dari rumah,” katanya.-UTUSAN










