110 calon PISMP ditolak atas faktor kesihatan, KPM buka ruang rayuan

110 calon PISMP ditolak atas faktor kesihatan, KPM buka ruang rayuan

Kah Woh menyampaikan anugerah kepada salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sempena Istiadat Konvokesyen IPG ke-17 2026, di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Seramai 110 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan 2026 yang sebelum ini menerima tawaran kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak dapat meneruskan pengajian selepas didapati tidak melepasi syarat kesihatan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kesemua calon berkenaan dibenarkan untuk mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan semula.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu yang tular di media sosial berhubung perkara itu termasuk keresahan dibangkitkan ibu bapa pelajar berkenaan.

“Calon berkenaan sebelum ini telah melepasi temu duga dan menerima tawaran sebelum mereka dikehendaki mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan untuk diteliti KPM.

“Bagaimanapun, daripada 6,392 calon yang ditawarkan tempat, seramai 110 orang didapati tidak melepasi syarat atau standard kesihatan yang ditetapkan.

“Prosedur pemeriksaan kesihatan ini sebenarnya telah lama dilaksanakan. Bezanya pada tahun ini, KPM meminta laporan kesihatan dikemukakan lebih awal sebelum calon melapor diri ke kampus masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Ke-17 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu segelintir calon PISMP yang tidak dapat meneruskan pengajian di IPG walaupun telah menerima surat tawaran rasmi selepas didapati tidak memenuhi syarat kesihatan ditetapkan.

Katanya, pihaknya menghargai semua calon berkenaan sebagai aset kepada sistem pendidikan negara dan berharap mereka dapat mengemukakan rayuan supaya status kesihatan mereka dinilai semula.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, berdasarkan prosedur ambilan sebelum ini, laporan kesihatan hanya diserahkan ketika calon melapor diri di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Sebelum ini ada kes calon yang sudah sampai ke kampus tetapi didapati tidak memenuhi syarat kesihatan, sekali gus menimbulkan kesukaran kepada semua pihak,” katanya.

Jelasnya lagi, langkah mempercepatkan proses semakan kesihatan itu dibuat bagi membolehkan KPM meneliti lebih awal status kesihatan calon serta memberi ruang kepada mereka mengemukakan rayuan.

Dalam pada itu, katanya, terdapat syarat kesihatan tertentu yang perlu dipenuhi oleh calon kerana selepas menamatkan pengajian kelak, mereka juga perlu melalui proses temu duga dan saringan kesihatan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum dilantik sebagai guru.

“Atas sebab itu, KPM mengambil pendekatan membuat semakan lebih awal sebelum calon memasuki IPG.

Seramai 6,392 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ditawarkan tempat bagi kemasukan fasa pertama PISMP di kampus IPG seluruh negara dan mereka dijangka melapor diri Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN