Kandungan podcast jangan sampai keruhkan hubungan

Kandungan podcast jangan sampai keruhkan hubungan

ZARUL UMBRELLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Zarul Husin, menasihati pengelola audiosiar agar berpada-pada merancang kandu­ngan supaya tidak mengundang kontroversi keterlaluan.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 50, berpendapat pengendali podcast perlu bijak menggunakan hak kebebasan bersuara melalui platform itu.

“Kita perlu tahu menggunakan platform podcast agar ia tidak mencetuskan mudarat hingga mengeruhkan hubungan sesama masyarakat.

“Saya faham kontroversi perlu untuk dapatkan tontonan yang tinggi. Tapi jika sekadar kontroversi manja tidak mengapa. Jangan sampai terlalu keras.

“Boleh jadi kita anggap ia perkara kecil, tapi mencetuskan impak yang besar kepada semua.

“Bila sudah jadi begitu, tidak perlu panjangkan cerita, minta maaf sahaja kemudian tutup buku. Tidak perlu bergaduh sana-sini. Kita faham semua ada hati dan perasaan, mana yang keruh kita buang jauh-jauh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Zarul berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa kandungan podcast yang mencetuskan kontroversi baik soal persahabatan dan rumah tangga yang tular minggu ini.

Menurut Zarul yang juga pengendali podcast Borak Dalam Galley, dia tidak pernah sengaja mencipta kontroversi demi melariskan jenama, sebaliknya menghidangkan cerita menarik yang memberi fokus kepada dunia penerbangan.

“Saya sudah lakukan ini sejak 2019, waktu itu podcast belum terkenal lagi. Bila zaman sudah berubah, barulah saya beradaptasi dan hasilkan kandungan seputar dunia penerbangan.

“Podcast itu saya hasilkan atas niat untuk mempromosikan tentang industri penerbangan. Mana yang ‘terlanggar’ hingga jadi viral, saya tidak pernah rancang.

“Cuma ada kandungan yang menarik dan tular contohnya seperti isu wajah kru naik jerawat dan pendedahan pramugari dilamar orang Arab dengan unta.

“Mana yang negatif, saya cuba kurangkan,” katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai pramugara selama 17 tahun.

Terdahulu, beberapa podcast mencuri tumpuan warganet membabitkan selebriti tempatan yang didakwa perang dingin di media sosial selepas menceritakan pendedahan perjalanan awal mereka sebelum memasuki industri hiburan.

Bukan itu sahaja, seorang pempengaruh juga menerima kecaman kerana mengeluarkan kenyataan kontroversi menerusi podcast mengatakan bahawa urusan menjaga anak bukanlah tugas seorang lelaki. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×