Kanak-kanak perempuan lapan tahun maut dipercayai didera bapa tiri, ibu kandung Kanak-kanak perempuan lapan tahun maut dipercayai didera bapa tiri, ibu kandung

Kanak-kanak perempuan lapan tahun maut dipercayai didera bapa tiri, ibu kandung

BAPA tiri dan ibu kandung mangsa ditahan pihak polis di kediaman di sebuah kediaman di Bandar Tasik Puteri. Rawang pada 9 malam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini semalam. 

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima makluman pada 3.27 petang berkaitan seorang kanak-kanak perempuan telah meninggal dunia di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak,  Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu perubatan Hospital Sungai Buloh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat  kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, peha, dagu dan lutut. 

“Terdapat kesan lebam di muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.

“Susulan itu, kita menahan bapa tiri mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan serta ibu kandungnya berusia 28 tahun yang juga pembuat aiskrim di sebuah kediaman di Bandar Tasik Puteri. Rawang pada 9 malam, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang bersekolah darjah dua di kawasan berkenaan namun didapati tidak hadir ke sekolah sejak Jun lalu. 

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi bedah siasat.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Beliau menyeru orang ramai yang melibat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan. 

“Mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kanan,  Asisten Superintenden Mohd.  Hamizan Mohamad Yunus di talian 013-8348384 atau Bilik Gerakan IPD Gombak ( 03-61262222),” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini