Kadar NRW di Perlis catat penurunan - Izizam - Utusan Malaysia

Kadar NRW di Perlis catat penurunan – Izizam

IZIZAM IBRAHIM.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis merekodkan penurunan bagi tempoh bermula sejak tahun 2022 sehingga bulan Jun tahun ini.

Berdasarkan rekod, kadar NRW pada 2022 adalah pada tahap 61.5 peratus, manakala pada 2023 pula adalah 62.48 peratus dan setakat Jun tahun ini pula menurun kepada 60.73 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, pelaksanaan program We Care telah dilancarkan pada awal tahun ini di mana Syarikat Air Perlis (SAP) bergerak secara agresif bagi membaik pulih kebocaran paip air secara berkesan.

“Seperti sedia maklum untuk menurunkan kadar NRW lebih drastik, peruntukan yang besar adalah diperlukan bagi tujuan tersebut.

“Dengan keadaan kewangan SAP masa kini yang defisit, program NRW secara holistik tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Izizam berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan oleh Saad Seman (PN-Chuping) berhubung peratusan NRW dihadapi oleh SAP sejak tahun 2022 sehingga kini.

Tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kedudukan NRW nasional 2019 di mana Perlis mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 63 peratus diikuti Kelantan (49 peratus) dan Kedah (48 peratus).

Permasalahan itu adalah berikutan hampir keseluruhan paip di seluruh negeri ini telah uzur dan perlu diganti segera.

Mengulas lanjut, Izizam berkata, SAP akan terus mengambil langkah bagi memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melalui kerajaan negeri bagi menangani isu NRW tersebut.

“Diharap dengan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan ini dapat membantu menurunkan kadar NRW di Perlis di samping memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN